.::Muwasafat Tarbiyah::.

.::Muwasafat Tarbiyah::.

ud'u ilaLLah

Monday, December 26, 2011

.:: Pergilah Duhai Sahabatku, Aku Bakal Mengiringimu ::.

Assalamualikum w.r.t.w.b.t, alhamdulillah, segala puji Allah s.w.t atas segala barang pinjamanNya ke atas diri ini yang masih membenarkan aku untuk mengetuk papan kekunci ini. Kekuasaan Allah s.w.t amat luas dan meliputi sekalian perkara terutama kepada kita selaku pendukung amanah dari Allah s.w.t atas muka bumi ini.

Selawat dan salam ke atas yang dirindui Muhammad Rasulullah waHabibullah s.a.w, kerinduan yang teramat ke atas baginda yang meruntun jiwaku hari ini untuk terus berada "bersama-sama" memikul tugasan dan amanah sebagai hamba Rabbul-Izzati.

Usai sahaja menelaah buku tadi, aku kembali semula ke dalam bilik, membuka ruangan laman sosial yang biasa aku layari, dengan sekali klik, aku terpadang wajah seseorang dan rinduku padanya kembali hadir. Sebak dan rindu kurasakan walaupun sudah dua minggu kami terpisah. Laju mulutku membacakan Al-Fatihah ketika mula terpandang akan perkataan itu.

Kami punya beberapa persamaan, nama ibu kami sama, tarikh lahir kami pun sama dan ayahnya juga tinggal di mana ayahku juga tinggal. Perkenalan aku dengannya mengajar aku banyak perkara. Melihat wajahnya yang tenang dan sentiasa tersenyum mengajak aku untuk turut tersenyum sama. Berbual dengannya ketika hayatnya juga banyak memberi pengajaran dan sehingga kini pemergiannya juga memberi pengajaran yang paling mendalam dan banyak mendidik hati-hati yang lalai sepertiku.

Teringat aku pada hari pemergiannya, aku tidak dapat bersama-sama dia melaksanakan tugas dakwahnya kerana tanggungjawabku atas perkara yang lain yang tetapi sama tujuannya.

Pagi itu aku mempersiapkan diri untuk mengikuti Kuliah Tafsir Nurul Ihsan dan juga ilmu fiqh yang dipimpin oleh ustaz Mutalib Maarof. Aku tiba di Yayasan An-Nahdhoh tepat ketika mana kuliah baru hendak bermula. Ustaz memulakan dengan puji-pujian, doa dan juga selawat. Aku pergi tidak berkitab tetapi cukup aku bawa tafsir "purple"ku bersama. Ustaz memulakan pengajian dengan ayat ke-57 surah al-Ankabut:

"Tiap-tiap barang yang bernafas akan merasai maut,..."

Antara huraian ustaz yang sempat ku garap, "tiap-tiap yang bernafas, tidak akan terlepas walau satu pun, pasti akan merasai mati", kita semua akan rasa, cuma masa itu adalah dalam kerahsiaan Allah sehinggalah datang perintah untuk malaikat mencabut nyawa kita...Tidak kiralah kita ni pegawai ka, wakil rakyat ka, perdana menteri ka, waimah kita ini manusia paling handal dan paling berkuasa sekali pun, semuanya akan melalui saat-saat dan detik-detik menghadapi sakaratul maut.

Ketika kuliah tafsir ini, aku mengambilnya sebagai peringatan dan tidak langsung merasakan ia adalah peringatan yang bakal disusuli dengan ujian pemergian sahabatku ini. Aku gagah terus mendengar tafsiran bait-bait Kalamullah itu sehingga lah waktu rehat sebelum kuliah Fiqh bermula jam 10.30 pagi.

15 minit kemudian, kuliah fiqh bermula, bab kali ini mengenai dua perkara, iaitu bab mengkafankan jenazah dan solat sunat jenazah. Ada kata-kata ustaz yang menjadi pesanan dan teguran untuk kita.

"sahabat sejati akan mengiringi sahabatnya sehingga pengebumiannya"...
"Dan yang paling afdhal menjadi imam solat jenazah adalah waris kepada si mati"

YA!! pagi itu, diriku penuh dengan peringatan-peringatan mengenai kematian. Kuliah tamat dengan sesi soal jawab. Selesai kuliah, aku menghidupkan motor dan rancang untuk terus pulang ke kampus. Jam 11.40pg hensetku bergetar..

"Azrin hati2, kami da xcident"

tanpa membalas, aku berdoa memohon sahabat-sahabatku tenang. Tepat jam 12.00tgh mesej masuk lagi

"Azrin, tlg kumpul shbt2 kita, buat baca yasin utk ijan, xpasti keadaan dia, tapi teruk, tengkuk dia patah, masih bawah lori",

belum sempat ku balas, jam 12.03tgh mesej masuk lagi

"Ijan dh xda"...

kali ini, motor yang ku tunggang ku berhentikan. Aku kembali membaca mesej tersebut, cuba ku hadirkan perasaan hiba, namun tidak hadir, ku sarung helmet kembali dan kembali menunggang. Tidak lama, hatiku mula sebak, tanpa dapat kutahan, air mataku terus mengalir.

Tiba di Pusat Islam, segera ku mendapatkan sahabat yang lain. Ku terus ke pejabat Pusat Islam kerna ku yakin pasti mereka juga akan kesana untuk memberitahu ustaz. Ustaz sedang membuat panggilan terus kepada pegawai polis yang bertugas bagi memastikan kesahihan berita yang kami terima...satu ayat yang menghibakan dari mulut ustaz...

"arwah telah dipastikan meninggal, dan jasadnya sudah ditutupi dengan surat khabar"

Badan ku lemah menerima berita tersebut, segera aku mengambil wuduk dan terus ke ruang solat, mencapai buku kecil bertulis 'Yaasin', air mataku terus mengalir dan perasaan rinduku padanya terus menerus hadir. Selesai solat Zohor, ustaz mengumumkan berita pemergian Allahyarham kepada umum.

Melupakan hasrat meneropong gerhana bulan, aku mengikuti rombongan mengiringi jenazah ke Terengganu. Perjalanan yang tenang pada malam itu, disimbahi sinaran bulan hampir penuh menjadikan suasana perjalanan kami begitu sayu.

Kami tiba di Terengganu tepat waktu subuh di sana. Setelah selesai solat, kami kembali ke rumah arwah untuk membacakan tahlil sementara menunggu ayah arwah sampai dari Johor. Setibanya ayahnya ke rumah arwah, jenazah di bawa ke masjid berdekatan untuk di sembahyangkan. Alhamdulillah, ramai golongan-golongan alim datang untuk bersama solat jenazah.

Jasad arwah disemadikan di tanah perkuburan Islam tidak jauh daripada rumahnya. Alhamdulillah, jasad arwah selamat dikebumikan. Segalanya berjalan lancar, walaupun merentasi perjalanan yang jauh, namun segalanya dipermudahkan oleh Allah s.w.t.

Kesedihan kami sedikit terubat apabila sahajaa bertemu dengan ibu kandung Ijan. Kata-katanya sedikit sebanyak memberi kami semangat untuk meneruskan kehidupan tanpa adanya Ijan disisi. Jarang sekali aku berpeluang bertemu dengan seorang Ibu yang kuat jiwanya walaupun telah kehilangan anak yang baik. Ibunya tenang, setenang arwah.

Duhai sahabat,
damailah kamu disana,
pemergianmu bakal kususuli,
berbahagialah oleh mu dengan segala amal baik kamu,
pertemuan yang singkat bersamamu cukup memberi banyak pengajaran buat kami yang masih hidup ini,
semoga Allah s.w.t juga mematikan kami ketika kami sedang berjuang seperti kamu.

Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kami, ampunilah segala kesilapan arwah Ijan.
Mohon Kau himpunkanlah roh arwah bersama-sama roh para-para solehin, para-para syuhada
Roh-roh yang berjuang untukMu Ya Allah.
Ya Allah, Ijan sangat baik pada kami semasa hidupnya, kau baikkanlah juga rohnya disana.
Ya Allah, telah kami saksikan segala perjanjianMu, kami akur dengan kekuasaan dan ketentuanMu.
Matikanlah kami ketika Iman kami sedang agung memujiMu Ya Allah.
Bantulah kami memelihara Iman kami, matikanlah kami di dalam jalan dakwahMu.

Al-Fatihah buat Allahyarham Hifzan Ikhwan bin Mohd Nasir ~07/07/1991-10/12/2011

aku? 07/07/1990-"Allah s.w.t juga punya perancangan untukku"...

p/s: Terima Kasih sahabat yang membaca kerna turut berdoa bersamaku...






Saturday, December 24, 2011

.:: Orang Yang Mencintai Ilahi ::.


Orang yang mencintai Ilahi
Dirinya tak keluh kesah
Apabila ditimpa ujian
Kerana dia yakin dengan kasih Tuhan

Orang yang cintanya kepada Ilahi melebihi segalanya
Tidak melatah apabila orang tersayang dirampas
Kerana walau dia kehilangan
Dia masih bermodalkan cinta Ilahi

Orang yang benar-benar menghayati cintanya kepada Ilahi
Sentiasa pasrah kepadaNya
Sabar menempuh ujian
Kerana dia tahu ujian itu adalah
Tarbiyyah daripadaNya

Orang yang benar-benar mencintai Ilahi
Juga mengharapkan kebahagiaan didunia
Tetapi jika tidak dapat dimiliki
Dia mengharapkan keindahan '"di sana'"
Kerana dunia ini hanya pinjaman
Dan dirinya hanya "'barang pinjaman'"
Yang dipinjam untuk sementara di dunia ini.

Nukilan: Naurah Musyahidah

Tuesday, October 4, 2011

.::Buat Para Dai'e::.

"Buat Para Ansarullah"

"Jadilah insan yang bermanfaat walau dimana kaki kau tapakkan"

“Malulah wahai da’i,
kata mata sering membaca quran,
tapi mengapa masih mata kau gunakan,
melihat wayang yang merosakkan,
membaca komik yang melalaikan?

Malulah wahai da’i,
kata telinga sering mendengar peringatan,
tapi mengapa masih telinga kau gunakan,
mendengar lagu yang hanya untuk keseronokan,
mendengar bersama fitnah dan umpatan?

Malulah wahai da’i,
kata kaki sering menapaki jalan perjuangan,
tapi mengapa masih kaki kau gunakan,
menuju tempat yang jelas melalaikan,
bahkan jarang ke masjid kau langkahkan?

Malulah wahai da’i,
kata tangan sering menulis kebaikan,
tapi mengapa masih tangan kau gunakan,
menekan capaian (link) yang merosakkan,
menaip di ruang sembang tiada batasan?

Malulah wahai da’i
kata hati ingin kau bersihkan,
tapi mengapa masih hati kau gunakan,
mengiyakan segala dosa kemaksiatan,
menyokong hasutan nafsu dan syaitan?

Sedarlah wahai da’i,
cukuplah pengkhianatan kita lakukan,
cukuplah menghampiri sifat kemunafikan,
walau ku tahu da’i bersifat kemanusiaan,
terkadang sering melakukan kesilapan,
tapi jangan jadikan itu alasan,
untuk berterusan mengulangi kesalahan,
namun jadikannya satu sumber kekuatan,
menanam azam untuk mengambil pengajaran,
ayuh da’i sejati perlu kita buktikan!”
— tumblr

Monday, September 5, 2011

.::Cerita Hati::.

Cerita Hati : Hafiz Hamidun


video

Semalam yang telah pergi
Menghilang tanpa jejak
Membawa bersama cereka
Duka dan ketawa

Dan kini ku mencari
Kalau masih ada kesan
Yang terus tersisa di dada
Pantai permainan

Jalanan yang panjang
Bersimpang haluan
Bagai pentas luahan rasa
Tiada sempadan

Pada awan biru ku melakar kata-kata
Pada langit cerah ku panah semua cerita
Dengarlah mentari suara hatiku menyanyi
Bertebangan jiwa merentasi pelangi

Gerimis menitis gugur membasahi bumi
Bagai menangisi sebuah cerita hati
Andai kau fahami semua hikayat pendeta
Seribu tahun kau pasti bisa setia ke alam syurga

Mungkin ada esok
tuk ku ukirkan kalimah
Menjadi arca pembuktian
Pengabdian cinta

Thursday, August 25, 2011

.::CINTA::.

Assalamualaikum w.r.w.b.t, Alhamdulillah segala puji syukur atas limpahan naungan Rahmat, Cinta dan Kasih Sayang-Nya kerana masih lagi memberi ruang waktu dan kudrat untuk kita sama-sama mengimarahkan bumi-Nya dengan segala bentuk amalan yang mampu membawa kita kembali kepadaNya.

Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w atas kerja buat Baginda yang mana hari ini menjadi warisan dan tanggungjawab kepada kita selaku umat Baginda dalam menyampaikan seruan Allah s.w.t ke dalam setiap hati-hati manusia.

Entah mengapa, hati ini terdetik untuk berkisar tentang "cinta" yang aku fahami selama aku diciptakan dan ditaklifkan sebagai manusia. Cinta itu pasti wujud dalam setiap hati dan perasaan manusia yang berakal.

Cinta itu suatu perkara yang penuh dengan emosi. Wujud di dalamnya perasaan yang pelbagai. Dengan cinta, akan kita rasa gembira, sedih, ketawa, menangis, kecewa, rindu, sayang, pengorbanan, putus asa,resah, gelisah, risau, marah dan manusia mampu khayal (mabuk) dengan cinta. Dengan cinta juga, kita berpeluang untuk belajar erti setia, sabar dan berkorban.

Cinta mampu membawa perubahan dari sekecil perkara hingga sebesar perkara dan mampu menggegarkan dunia. Mereka yang terkena penangan cinta pastinya buntu dalam mengawalnya sehingga mampu hilang kawalan juga kerana cinta. Ada manusia yang mampu mengawal cinta namun tak kurang juga yang menjadi taksub dengan cinta. Setiap manusia yang bercinta pasti mengalami dugaan dalam memenuhi tuntutan cinta nya, kerana cinta perlu diisi, dipenuhi segala tuntutan dan perlu dalam pembuktian cintanya.

Cinta itu suatu emosi yang terkadang ingin dilemparkan dan diluahkan sehendaknya, dan jika boleh satu dunia perlu tahu perasaan cinta yang wujud dalam diri kita. Ada yang berpuisi cinta, ada yang melirik lagu cinta dan ada bersyair cinta dan tak kurang juga yang mengalunkan lagu-lagu cinta.

Hari ini wujud rasa cinta yang banyak dalam diri umat manusia sedangkan cinta itu perlukan kesetiaan pada perkara yang dicintainya. Juga hari ini ramai mereka yang gagal dalam menjaga dan memelihara perasaan cintanya.

Cinta mampu membawa kita ke arah kebaikan, cinta juga mampu membawa kita kepada kejahatan.
Cinta juga mampu menutup pintu-pintu fitnah, cinta juga mampu membuka pintu-pintu fitnah.
Cinta boleh menjadikan kita waras, cinta juga boleh membuatkan kita gila.
Cinta menjadikan kita taat, cinta juga menjadikan kita ingkar.
Cinta menjadikan kita benar, cinta juga boleh menjadikan kita dusta.

p/s: dibawah kawalan dari Allah s.w.t

Begitulah lumrah kita yang bercinta, jika benar jalan cinta kita dan benar cara kita menjaga dan memelihara perasaan cinta kita, maka akan baiklah segala perilaku kita dan halatuju cinta kita. Namun AWAS!!! dengan cinta juga kita akan binasa jika tidak benar dalam memelihara cinta.

Sekalipun pelbagai persaan cinta yang wujud dalam diri kita, wajib kita untuk memohon restu dari Maha Pencipta. Dia yang menciptakan kita dan Dia jualah yang menciptakan perasaan cinta yang hari ini terpasak di dalam hati kita. Maka hanya Dia lah Maharaja Cinta. CintaNya amat luas, meliputi sekalian perkara. Maka menjadi wajib bagi kita dalam memohon dariNya untuk memelihara perasaan cinta kita.

Ramai hari ini mengaku cinta sejati mereka hanya Allah s.w.t, namun INGAT!!! cinta itu perlu kepada pembuktian. Apa yang telah anda lakukan untuk luahkan perasaan cinta anda hari ini? adakah ia pada jalan yang benar? Jika benar, Alhamdulillah, moga Allah s.w.t terus memelihara hati-hati kita dari menyintai perkara-perkara yang dusta untuk kita cintai, moga diri ini dan kalian sentiasa terpelihara dibawah payungan Rahmat dan CintaNya agar kita mampu untuk bertemu cinta sejati yang kekal abadi yang tiada tandingannya walau sehebat manapun perasaan cinta yang wujud dalam diri kita.

Friday, August 12, 2011

.::Sahabat Sejati::.

Assalamualaikum w.r.t.w.b.t, Alhamdulillah syukur kehadrat Illahi, segala puji selayak hanya padanya Tuhan sekalian alam. Nikmat Islam dan Iman masih lagi diberi utuh oleh-Nya meskipun kita sering kali terleka dari mengingati-Nya. Tidak kurang juga segala nikmat-nikmat yang tidak putus-putus datang untuk hamba-Nya bercucuk tanam tanaman akhirat dibumi-Nya. Semoga benih-benih yang kalian dan diri ini tanam dapat dijaga elok, disemai indah bersama baja-baja zikrullah, disiram segar dengan doa-doa yang datang dari ikhlasnya hati.

Ketika diri sedang sendiri, rinduku pada mereka mula hadir, sahabat-sahabat yang sentiasa ada untukku kini jauh dari pandangan, namun hati-hati kami tetap wujud bersatu. Bagiku merekalah sahabat yang terbaik yang pernah ada untuk aku bersama mereka. Sahabat yang tidak segan dan malu untuk menegur kesilapanku, yang dapat menjaga aibku, yang banyak memberi tunjuk ajar, yang tidak kedekut dalam berkongsi ilmu, sentiasa ada ketika suka mahupun duka.

Mampu untuk menerima setiap kelemahan diri ini.Bersama mereka, aku kini mampu untuk mengenali dan mendekati Sahabat Sejati buat seluruh umat manusia, teman sepanjang hayat. Ramai hari ini kita sering terlupa bahawa Allah s.w.t adalah sahabat sejati terbaik yang kita pernah ada.

Dia tidak pernah kedekut dengan kita,

sentiasa menanti hamba-hambaNya meminta tolong padaNya,

di kala susah, Dia lah yang sentiasa sudi menghulurkan pertolongan,

di kala kita buntu dengan masalah, Dia lah yang sentiasa ada jawapan untuk setiap masalah kita,

di kala lapar, Dia tidak kedekut untuk belanja kita makan,

di kala sakit, Dia lah yang akan sembuhkan kita,

tidak pernah tidur untuk menjaga kita,

Dia tidak pernah pun melupakan kita meskipun kita sering lalai untuk menyebut namaNya.

Sentiasa menjadi sahabat sejati kita meskipun kita berbuat salah terhadapNya.

Teman-teman, meskipun kita punya sahabat yang ramai diluar sana, meskipun kita punya BFF (best friend forever) dalam list sahabat kita, tetap ingatlah Allah s.w.t adalah sahabat terbaik yang kalian pernah ada. Sentiasalah ingati akan Dia, moga kalian mendapat payungan RahmatNya.

Sahabat sejatimu adalah yang bersahabat denganmu dalam keadaan ia mengetahui aibmu. Dan hal itu tidak lain adalah Allah s.w.t Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Sebaik-baik sahabatmu adalah yang mengharapkanmu bukan dari keuntungan yang dia harap darimu” Ibn ‘Athaillah


(klik pada gambar untuk besar)



Tuesday, June 7, 2011

.::Curang::.

::FeelHoney-Curang::
credit to zulfirdaus zakaria (klik)

video

kuakui, ku pecinta sejati
kuberjanji yang Kau selalu ku sayangi
namun kasih...selalu ku bohongi
betapa malunya aku menghadapMu...

mencariMU...hanya bila ku rindu
mula bersujud hanya bila ku perlu...
namun bila... Kau beri ku cinta...
panggilanMu tak pernah aku dengar

angkuhnya ku...pada kejadianku
merasakan...dunia lama milikku
kan kelukah lidah?? bersyahadah cinta
bila nafas dihujung nyawa

curangnya ku...di setiap nafasku
melupakan...aku hanya milikMu
jauhkah syurga dari pandangan??
kifarah dosa kini kurasakan...

sumber:: youtube=FeelHoney-Curang (klik)

Tuesday, May 24, 2011

::Kehidupan DiPandu Sunnah, Kehidupan Yang Benar::

Kehidupan yang benar adalah seperti mana yang dipandu dan yang ditunjuki oleh Baginda Muhammad Rasulullah S.A.W. Sirah baginda sangat bernilai bagi mereka yang benar mahukan hakikat kehidupan yang sebenar dan selari dengan fitrah sebagai seorang manusia, hamba dan khalifah di muka bumi Allah S.W.T.

Taufiq, Hidayah serta Inayah dari-Nya amat tinggi nilainya kepada mereka yang benar-benar mencari lurusnya jalan kehidupan. Ibarat kompas dan peta bagi mereka yang tersesat jauh di dalam hutan rimba, ianya perlu dijaga rapi supaya tidak rosak, begitulah hidayah milik Allah S.W.T yang sering manusia seperti kita yang gagal untuk menjaga hidayah Allah S.W.T sekalipun telah dibentangkan didepan mata, namun apabila ia hilang barulah akan kita sedar pentingnya segala petunjuk dan pembimbing tika kita sedar kita telah tersesat jauh.

Matlamat kehidupan manusia sewajibnya adalah satu iaitu hanya kepada Allah S.W.T, namun kehidupan kita hari ini terlalu banyak disogok dengan perkara yang menjauhkan hati-hati kita daripada mengingati Allah S.W.T. Apakah ini wajar dijadikan alasan untuk kita lalai dari mengingati Dia Kekasih Agung? Sedangkan kita punya upaya, punya kudrat dan punya pegangan untuk kita sedar dan melawan akan kewujudan parasit agama yang terus merebak dan membiak. Apakah harus kita untuk terus menyalahkan parasit itu atau kita sendiri yang menghidar dari mendekatinya? Jalan yang benar sebenarnya bukanlah sempit, tetapi luas dek kerana terlalu sedikit yang ingin melaluinya dan penuh dengan arus keraguan dan buruk sangka jika kita tidak utuh pegangan dan pautan pada tali Allah S.W.T

Parasit kehidupan ini bukan sahaja tumbuh pada zaman kita, bahkan sebelum kelahiran Baginda Rasulullah S.A.W sudah banyak, demikianlah lahirnya Baginda untuk membetulkan apa yang salah, membetulkan akhlak umat manusia, membetulkan peradaban manusia juga sebagai Rahmat untuk sekalian alam. Namun hari ini kita lebih gah untuk membicarakan dan mengkaji kehidupan tokoh-tokoh yang tiada kaitan kehidupannya dengan Islam, kita lebih seronok menyebut-nyebut nama penyanyi kegemaran, pelakon kegemaran dan atlet-atlet kegemaran daripada bercerita riwayat Baginda dalam sesi perbualan kita di waktu senggang kita.

Hari ini, seolah-olah kita kembali pada zaman Arab Jahiliyah dahulu, terlalu banyak persamaan bahkan lebih dasyat lagi, hal ini kerana tiadanya pemimpin sebijak Baginda, adapaun mereka yang ingin mengembalikan sistem Baginda pastinya ditentang hebat mirip tetangan kafir Arab Jahiliah terhadap Baginda. Bahkan Rasulullah S.A.W dulunya juga terpaksa menjadi ketua pembangkang menentang kerajaan taghut Abu Jahal semata-mata mahu menegakkan syariat Islam sebenar yang tulen untuk ditegakkan dibumi Allah S.W.T. Bahkan Rasulullah S.A.W juga pernah ditawarkan pangkat di kerajaan dan segala kekayaan kerajaan, namun ditolak kerana mahu membela kesucian Islam.

Dibawah pemerintahan Abu Jahal masyarakat Arab Jahiliyah kelihatan tidak bertamadun walaupun zahirnya nampak professional. Anak perempuan dibunuh, arak bertaburan, judi merata-rata, zina dimana-mana, konsert lalakan suara yang melalaikan, laki perempuan berjoget-joget di pentasan tanpa rasa malu dan bermacam lagi yang mana hari ini kita dapat lihat persamaannya seperti mana yang berlaku dizaman kita, tempat kita dan sekeliling kita bahkan lebih dasyat dan terang-terangan.

Umat Islam hari ini dikaburi dengan sistem yang kelihatannya baik, tersusun dan terpimpin sebaliknya menjadi racun buat umat Islam. Kebanyakan Umat Islam hari ini layaknya seperti buih-buih dilautan yang wujud tetapi tidak berperanan selayaknya seorang Muslim.

Telah nyata, hanya mereka yang memegang Al-Quran dan Sunnah sahajalah yang tidak akan tersesat daripada arah landasan hidup umat manusia. Maka, jelaslah bahawasanya, mereka yang menolak salah satu atau keduanya adalah mereka yang sesat.

Apakah muslimin sekalian hanya mahu melihat anak muda remaja hari ini terus lalai dan diperbodohkan? Atau kalian sebenarnya suka melihat pemimpin muda ibarat lembu yang menjadi tambatan pemimpin mungkar? Ayuh sekalian muslimin, ubah sekarang dan selamatkanlah Malaysia dari azab dan bala’ dunia dan akhirat. Bebaskan dari segala parasit. Angkat kekuatanmu, ampuhkan semangat juangmu, asah senjata Doamu setiap hari setiap waktu, moga kita tergolong dalam barisan tentera yang menyandarkan:

Allah S.W.T sebagai tujuan kita,

Rasulullah S.A.W sebagai teladan kita,

Al-Quran sebagai pedoman hidup kita,

Jihad sebagai jalan juang kita

dan Syahid di jalan Allah sebagai cita-cita kita.

Friday, March 11, 2011

::Alhamdulillah::

Alhamdulillah...segala puji bagi Allah yang sentiasa menaungi kami, yang tak pernah tidur, yang tak pernah lalai, maha sempurna...tatkala habis mendengar khutbah, kelegaan datang kepadaku. Tatkala aku buntu mencari jawapan, rahmat Allah turun bersama petunjuk-Nya kepada semua umat untuk menerangkan tentang tugas, amanah serta tanggungjawab.

Dalam kemengantukan di tengah hari ini, aku telah tersentak dek tajuk khutbah yang dikupas oleh si khatib berkenaan dengan amanah dan tanggungjawab..Masih segar lagi peristiwa yang menuntut kepada aku untuk menggalas amanah yang belum pasti akan dasarnya sedangkan manusia itu perlu bertanggungjawab pada amanah yang mempunyai dasar yang jelas kerana Allah s.w.t, berikut adalah teks ucapan khatib pada khutbah hari ini.
-------------------------------------------------------------------------------------------


“Akauntabiliti Terhadap Amanah”


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Pada hari Jumaat yang berkat dan di dalam masjid yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat yang menjadi tetamu Allah sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi umat yang terbaik, umat contoh dan memperolehi kebahagian di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “AKAUNTABILITI TERHADAP AMANAH. ”


Muslimin yang di Rahmati Allah,

Manusia adalah hamba Allah SWT yang diamanahkan menjadi khalifah di muka bumi ini. Tugas khalifah begitu amat luas yang meliputi segala aspek dalam menyempurnakan kehidupan umat manusia dan seluruh alam. Justeru kita diwajibkan bertanggungjawab terhadap amanah tersebut. Bagi membolehkan melaksanakan tugas yang begitu berat, maka Allah SWT memberi satu pedoman kepada kita dengan menurunkan al-Quran dan Rasul- Nya agar dijadikan rujukan dan panduan untuk kita mentadbir alam ini. Justeru, maka kita sebagai khalifah diwajibkan mentaati segala peraturan dan panduan yang telah ditetapkan itu demi kesejahteraan semua manusia dan seluruh alam. Firman Allah SWT dalam Surah al-Anfal ayat 27:


Maksudnya:Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).


Ketahuilah bahawa manusia yang benar-benar beramanah ialah Nabi Muhammad SAW yang telah menunaikan seluruh kewajipannya sebagai penegak agama, penyelamat ummah, pembela dhuafa’, pendidik masyarakat. Baginda juga sebagai ketua keluarga, sebagai ketua negara dan sebagai pemimpin seluruh alam. Selaras dengan itu, Rasulullah SAW memperingatkan kita agar memelihara dan bertanggunjawab ke atas setiap amanah yang di pikul setiap manusia sebagaimana sabdanya:


Maksudnya:Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepimpinannya. Imam (Ketua Negara) adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinannya, Suami (bapa) adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinannya, Wanita pemimpin di rumah suaminya dan akan ditanya mengenai kepimpinannya, Orang gaji adalah pemimpin kepada harta benda yang diamanahkan kepadanya dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Tiap-tiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan ditanya mengenai kepimpinan kamu. ( Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Anugerah amanah ini bukan sekadar suatu penghormatan dan penghargaan ke atas kebijaksanaan dan kemampuan manusia berbanding dengan makhluk Allah yang lain, tetapi ia merupakan satu tanggungjawab yang mesti dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Justeru itu, demi memastikan amanah yang diberikan dapat dilaksanakan dengan baik, kita haruslah bersikap jujur terhadap amanah ini dan melakukan dengan bersengguh-sungguh untuk tujuan mencapai kebenaran serta dengan dasar yang jelas dan benar.


Muslimin yang di Rahmati Allah,

Islam adalah agama yang sangat menitikberatkan soal hak, amanah dan tanggungjawab. Penegasan tentang hak dan amanah ini telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadithnya yang bermaksud:“Sesungguhnya darah-darahmu, harta-hartamu dan maruahmu adalah haram atasmu semua seperti kesucian harimu ini, di negerimu ini dan dalam bulanmuini. Dan engkau semua akan menemui Tuhanmu lalu Dia akan menanyakan kepadamu semua perihal amalan-amalan kamu. Ingatlah!, maka janganlah kamu semua kembali menjadi orang-orang kafir selepasku, sebahagiannya menetak leher sebahagian yang lain (berbunuhan tanpa dasar kebenaran).(Muttafaqun ‘Alaih)


Mimbar ingin menegaskan bahawa persoalan hak dan amanah sebenarnya berkait dengan hak-hak Allah SWT yang wajib ditunaikan, hak-hak manusia yang perlu dilaksanakan termasuklah kepada diri sendiri, anak-anak, keluarga, jiran-tetangga dan masyarakat keseluruhan. Ingatlah bahawa beriman kepada Allah SWT dengan mentaati segala perintah-Nya adalah suatu amanah, menyeru kepada kebaikan adalah amanah, mendidik anak-anak juga adalah amanah. Menunaikan solat, puasa, zakat dan sebagainya merupakan sebahagian dari amanah.dengan kata lain semua persoalan hidup ini adalah amanah. Rasulullah SAW telah berpesan di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim dari Mu’az bin Jabal RA katanya:

"Saya mengekori Nabi SAW yang sedang menunggang seekor keldai. Tiba-tiba Baginda bertanya kepada saya:”Wahai Mu’az, adakah engkau tahu hak Allah ke atas hamba-Nya?”. Saya menjawab:”Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui”. Baginda bersabda:”Hak Allah ke atas hamba-Nya ialah mereka wajib mengabdikan diri mereka kepada-Nya dan tidak mensyirikan sesuatu apapun dengan-Nya. Ibnu Mas’ud pernah berkata: Ingatlah bahawa solat itu adalah amanah, wuduk itu juga adalah amanah, mandi wajib adalah amanah, timbang menimbang adalah amanah dan yang paling berat sekali ialah wadi’ah iaitu barang simpanan orang yang dipercayakan kepadamu untuk menyimpannya.


Muslimin yang di Rahmati Allah,

Mengikut pemerhatian mimbar bahawa tahap akuantibiliti terhadap pelaksanaan amanah di kalangan sesetenggah anggota masyarakat pada hari ini amat membimbangkan. Banyak tanggungjawab yang diabaikan samada berkaitan hubungan dengan Allah SWT atau sesama manusia. Kita dapat melihat ramai di kalangan kita yang mengabaikan solat, memandang remeh kewajipan berzakat, kikir untuk mengeluarkan sedikit harta untuk bersedekah. Ramai juga dikalangan kita yang mengabaikan tanggungjawab terhadap rumah tangga, anak-anak diabaikan. Betapa banyak kes anak-anak yang lari dari rumah yang dilaporkan. Gejala sosial semakin menjadi, kecurian berlaku di mana saja sehingga ada di kalangan mereka yang sanggup mengambil harta benda dan tabung jemaah di masjid.


Mimbar juga dimaklumkan bahawa akauntabiliti pengurusan agensi kerajaan dalam sektor awam dan swasta pada masa ini juga pada tahap membimbangkan. Seringkali dilaporkan berlaku kejadian pecah amanah, penyelewengan kuasa, rasuah, membazir masa dan sebagainya yang merugikan negara. Satu lagi yang membimbangkan ialah tentang elemen keselamatan perlindungan rahsia negara. Ramai dikalangan penjawat awam pada hari ini mengabaikan dengan tidak mengambil berat tentang hal ini, sehingga berlaku kebocoran maklumat rahsia negara. Perlu difahami rahsia negara merupakan sebahagian aset negara dan ianya mesti dilindungi secara menyeluruh daripada pelbagai ancaman. Apa jua bentuk tindakan untuk membocorkan rahsia negara ianya merupakan jenayah yang akhirnya meruntuhkan dan menghancurkan negara. Justeru mimbar menyeru sebagai seorang Islam, marilah sama-sama kita menghayati prinsip integriti, akauntibiliti, sentiasa beramanah, jujur, telus dengan penuh rasa tanggungjawab di samping menyerlahkan sifat-sifat mahmudah yang lain seperti rajin, tekun, berdisplin dan mengutamakan kualiti dan kesempurnaan dalam setiap tugasan.


Mengakhiri khutbah, mimbar mengingatkan wahai umat Islam sekalian bahawa Allah SWT akan mengadili semua tugas yang diamanahkan walau sekecil manapun tugas tersebut. Ingatlah jika kita sekali mengkhainati amanah yang diberikan nescaya seribu kali kita sukar untuk mendapat kepercayaan orang lain. Jika sekiranya kita terlibat dalam penyelewengan dan penipuan, maka rezeki yang kita perolehi adalah haram, makanan dan minuman adalah haram, pakaian yang dipakai juga haram kerana datang dari sumber yang haram. Oleh itu, marilah sama-sama kita mengamalkan sikap jujur dan bertanggunjawab serta ikhlas dalam melaksanakan segala amanah yang diberikan ini. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa ayat 58:


Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya, dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, supaya kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.

::Berlikunya Jalan Menuju Redha-Mu::


"tidak disebut perjuangan sekiranya tanpa disusuli pengorbanan", inilah ungkapan yang sering terpacul keluar dari setiap mulut-mulut mereka yang hidupnya semata memperjuangkan kedaulatan Islam di muka bumi Allah s.w.t ini, kerana inilah tujuan sebenar kita sebagai khalifah (pengganti) untuk memacak panji-panji Islam di atas bumi.


Boleh sahaja Allah s.w.t meletakkan Islam itu terus ditempat tinggi, tetapi sengaja Allah s.w.t mentaklifkan amanah ini pada pundak manusia kerana Allah s.w.t lebih mengetahui akan apa yang kita tidak ketahui. Amanah ini terlalu berat sehinggakan jika amanah ini diberi kepada gunung-ganang, nescaya akan berkecai gunung-ganang tersebut, sedangkan amanah itu tidak terlaksana akibat bebanan yang terlalu berat ini, dan hanya manusia sahaja yang mampu untuk memikulnya lantaran daripada kesempurnaan kejadian manusia itu sendiri yang memiliki roh dan jasad.

Adapaun manusia hari ini terutamanya yang bergelar Islam seakan sudah dikaburi mata hati mereka daripada kebenaran ini. Kaburnya mata hati mereka akibat diselaputi dek debu-debu kesibukan dunia yang telah menutup pandangan mereka dari akan tanggungjawab ini. Islam bagi mereka hanya pada solat, puasa, zakat, dua kalimah syahadah dan haji, tetapi sedikit sahaja yang melihatnya dengan jelas akan matlamat Islam itu sendiri.


Apabila disebut yang tanggungjawab manusia ini hanya satu, iaitu tanggungjawab untuk membawa diri dan manusia lain kepada Allah s.w.t, golongan yang rabun ini akan terus rabun kerana menganggap ada lagi tanggungjawab lain yang lebih penting. Bukankah Allah itu maha luas, seterusnya apabila kita laksanakan tanggungjawabyang satu itu nescaya barulah akan terbit tanggungjawab yang lainnya...tetapi adakah mereka faham???

Ramai yang mengaku diri mereka Islam, tetapi tidak ramai yang faham apa itu Islam.
Ramai yang melihat Islam hanya pada mata kasar sedangkan sedikit pula mereka yang melihat Islam melalui mata hati.
Ramai yang mengaku diri mereka Islam, tetapi tidak ramai yang berani berkorban untuk menegakkan Islam.
Ramai yang mengaku mereka memperjuangkan Islam, namu tidak ramai yang berani dihina, dikeji dan dimaki semata kerana Islam.



Dalam memperjuangkan kebenaran, telah Allah s.w.t janjikan dengan permaidani yang berduri dan ranjau yang menimbun yang perlu kita lalui. Adapun mereka yang berani untuk membawa Islam ini pasti akan teruji dari pelbagai sudut. Demikianlah yang telah dilalui oleh para Anbia terutamanya baginda Muhammad Rasulullah S.A.W. Adakala kita pasti akan tersilap langkah dan akan mula hilang semangat, tetapi ingatlah wahai para mujahidin, anda di jalan yang benar, jadikanlah kesilapan itu sebagai panduan untuk anda meneruskan perjalanan yang mana hujungnya nanti terhidang akan nikmat yang sangat besar yang tidak pernah terlintas pada akal cetek kita ini.

Yakin dan percayalah pada Allah s.w.t akan bantuan daripada-Nya kepada mereka yang sanggup menolong kepada agama yang Allah s.w.t redhai ini.

Wahai para mujahidin, para sahabat sekalian dan diri naif ini, dimanakah kedudukan kita?adakah kita hanya manusia yang menyatakan keIslaman kita tetapi tidak mahu melaksanakannya? atau kita ini hanya melakukan rukun Islam tetapi benci kepada perjuangan Islam? ataupun kita ini manusia yang cinta akan Islam, melaksanakan syariatnya, dan mahu turut serta dalam medan amanah ini? Adakah kita hanya sebagai tukang sorak, ataupun kita sendiri yang menyokong dan mendokong akan perlaksanaan ini?...Selamat Bermujahadah.



BINGKAI KEHIDUPAN

Mengharungi samudra kehidupan
Kita ibarat pada pengembara
Hidup ini adalah perjuangan
Tiada masa tuk berpangku tangan

Setiap tetes peluh dan darah
Tak akan sirna ditelan masa
Segores luka dijalan Allah
Kan menjadi saksi pengorbanan

Allah ghayatuna
Ar-Rasul Qudwatuna
Al-Quran dusturuna
Al-Jihadu sablluna
Al-Mautu fi sabilillah asma amanina

Allah adalah tujuan kami
Rasulullah teladan kami
Al-Quran Pedoman hidup kami
Jihad adalah jalan juang kami
Mati di jalan Allah adalah
cita-cita kami tertinggi

SHOUTUL HAROKAH

There was an error in this gadget

.::My Family::.

.::My Family::.

.::Teman Seperjuangan::.

.::Teman Seperjuangan::.
" aku mencintai sahabatku dengan segenap jiwaku, sahabat yang baik adalah seiring denganku dan menjaga nama baikku ketika aku hidup atau selepas mati, ku hulurkan tangan kepada sahabatku, untuk berkenalan kerana aku akan merasa senang, semakin ramai sahabat, semakin aku percaya diri, aku selalu berharap mendapat sahabat sejati, yang tidak luntur baiknya, dalam suka dan duka, jika aku dapat, aku ingin setia padanya" - imam syafie-